Oleh Mohd Shukri IshakKUANTAN, 21 Jan (Bernama) --
Ramai yang menyatakan kewujudan Empangan Chereh di Sungai Lembing berjaya mengurangkan kesan banjir di daerah Kuantan pada musim tengkujuh yang baru lepas.
Berbanding kejadian banjir musim hujan sebelum ini, jumlah mangsa banjir yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan turut berkurangan.
Menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, jumlah mangsa banjir yang berpindah musim tengkujuh lepas (hujung tahun 2007 dan awal tahun 2008) ialah lebih 4,000 orang tetapi pada musim tengkujuh kali ini (hujung tahun 2008 dan awal tahun 2009), kurang daripada 2,000 orang.
Sedangkan mengikut laporan Jabatan Meteorologi, taburan hujan adalah sama antara kedua-dua musim tengkujuh iaitu 950 mm selama 40 hari antara 1 Dis 2007 dan 9 Jan 2008 dengan 949.4 mm selama tempoh yang sama antara 1 Dis 2008 dan 9 Jan lepas.
Malah, tidak seperti musim tengkujuh lepas, musim kali ini mencatatkan taburan hujan yang tinggi bagi tempoh tiga hari berturut-turut dengan bacaan 456 mm iaitu 117.4 mm pada Khamis (1 Jan 2009), 136.6 mm (2 Jan) dan 202mm (3 Jan).
Taburan 202 mm dan 136.6 mm ini, yang tertinggi dan kedua tertinggi pada musim tengkujuh kali ini mengatasi taburan tertinggi dan kedua tertinggi bagi musim tengkujuh lepas yang tercatat pada 125 mm pada 11 Dis 2007 dan 111.2 mm sehari sebelumnya (10 Dis 2007).
FUNGSI EMPANGAN CHEREH
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menutup (plug-in) secara rasmi pintu air Empangan Chereh, di dalam kawasan tadahan air hutan rizab Chereh Sungai Lembing, pada 29 Julai lepas.
Menurut Pengarah Jabatan Bekalan Air Pahang Datuk Ismail Mat Noor, Empangan Chereh itu sendiri yang menakung air menyebabkan jumlah air yang melalui Sungai Chereh hingga bercantum dengan Sungai Kuantan tidak jauh dari Kampung Jarau, Sungai Lembing menerima jumlah air yang tidak banyak.
Ini menghindarkan daerah Kuantan daripada menerima limpahan air yang boleh menyebabkan berlakunya banjir."Inilah sebenarnya antara fungsi utama Empangan Chereh bernilai RM76 juta ini. Selain sebagai empangan untuk menakung air bagi maksud minuman dan kegunaan harian, fungsi yang tidak kurang pentingnya ialah sebagai penebat banjir," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata sejak "plug-in" pada 29 Julai lepas dilakukan, jumlah air di empangan seluas 1,620 hektar (atau sepertiga keluasan Wilayah Persekutuan Putrajaya) itu telah pun mencecah 50 peratus atau 130 juta meter padu.
"Bayangkanlah jika jumlah air sebanyak itu dibiar mengalir kerana tiada empangan, sudah tentu ia boleh menyumbang kepada keadaan yang buruk kepada bencana banjir di Kuantan" katanya.
Menurutnya, empangan itu sekadar menakung air dan tiada proses rawatan dilakukan di empangan.
Ismail berkata air dari empangan Sungai Chereh ini disalurkan ke Sungai Kuantan, memasuki beberapa loji di tebingnya seperti Loji Air Pasir Kemudi, Loji Air Sungai Lembing, Loji Air Bukit Sagu, Loji Air Panching, Loji Air Kampung Padang, Rumah Pam Kampung Kobat sebelum disalur ke Loji Semambu dan Loji Air Buki Ubi untuk pembekalan ke rumah-rumah di daerah Kuantan.
MUSIM AKAN DATANG
Menurut perancangan, empangan ini akan mencapai kapasiti 260 juta meter padu air tertakung bagi tempoh dua atau tiga musim tengkujuh daripada tarikh ia ditutup (plug-in).
"Musim tengkujuh baru-baru ini ialah yang pertama (plug-in) dan itupun sudah mencapai tahap 50 peratus. Maka perancangan bermula pada bulan Jun ini iaitu musim panas dan kemarau; air dalam empangan akan dilepaskan supaya air itu kekal pada paras 50 peratus," katanya.
Beliau berkata tindakan itu supaya apabila musim tengkujuh tiba, empangan itu akan terus mempunyai cukup ruang untuk menerima taburan air hujan yang berlebihan dan mengelak kejadian banjir buruk di daerah Kuantan.
Bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa Sungai Kuantan menerima airnya bukan sahaja dari Sungai Chereh tetapi juga Sungai Kenau.
"Inilah yang menyebabkan Pekan Sungai Lembing pada musim tengkujuh kali ini, masih mengalami banjir yang melibatkan beberapa kampung sekitarnya. Namun tahapnya tidaklah kritikal seperti mana tahun-tahun sebelum ini apabila air naik sehingga menghampiri paras bumbung rumah," katanya.-- BERNAMA