
SEWAJARNYA arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar fasiliti pelupusan tetap bagi sisa-sisa projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas dibina jauh dari penempatan penduduk, ialah keputusan bersifat kompromi yang terakhir daripada kerajaan.
Selepas ini, kerajaan harus bertegas dan memastikan pemaju projek ini, Lynas Malaysia Sdn. Bhd., benar-benar memperoleh Lesen Operasi Sementara (TOL) setelah memenuhi segala syarat yang Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) tetapkan.
Dengan TOL ini, bolehlah ia mengangkut logam tanah jarang (yang dikatakan sebagai bahan mentah masa depan) berkenaan dari Pelabuhan Freemantle di Perth ke kilangnya di kawasan perindustrian Gebeng menerusi Pelabuhan Kuantan, memulakan operasi seterusnya membuktikan dalam tempoh dua (2) tahun tempoh TOL ini, betapa projek ini sememangnya selamat.
Tidak dapat dinafikan, dalam usaha mendapatkan TOL ini sahaja pun, terlalu banyak kerenah ditimbulkan oleh puak-puak penentang yang 'minoriti lantang', disokong pula oleh puak-puak berkepentingan politik dari parti-parti pembangkang.
Penentangan itu sengaja dibuat, di sebalik badan antarabangsa yang berwibawa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang memeriksa dan membuat penilaian ke atas projek ini Jun lepas dan membuat keputusan tentang selamatnya projek ini.
Dan pakar-pakar logam tanah jarang dan radiasi dari China sendiri telah dibawa masuk dan menjelaskan dalam beberapa siri public engagement dengan orang ramai, khususnya masyarakat Cina di Kuantan mengenai kepentingan projek itu.
Dalam kalangan anggota parti pembangkang pula, Ahli Parlimen Pas kawasan Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat yang juga pakar nuklear telah membuat pengakuan positif mengenai projek ini; namun, puak-puak penentang tetap dengan kedegilan mereka.
Dalam proses ini, kenyataan-kenyataan kasar dan berbaur fitnah dikeluarkan secara sewenang-wenangnya.
Misalnya, Pengerusi Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack pada persidangan media bagi mengajak pemimpin dan orang ramai menyertai perhimpunan itu di Kuantan pada 26 Februari lepas, telah memberi kata-dua (dalam Bahasa Inggeris);
"… dengan memilih untuk berdiam tidak dapat diterima, tidak bertanggungjawab dan patut dikutuk. Oleh itu, mereka patut menjalankan tanggungjawab moral (dengan hadir ke acara Himpunan Hijau tersebut)".
Bahawa cuma 3,000 orang sahaja yang hadir di sebalik kehadiran 'bintang' mereka, Ketua Umum, Parti Keadlian Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bolehlah kita simpulkan betapa mereka ini sahajalah yang wajar dipuji manakala yang tidak hadir, harus dikecam!
Bahawa fitnah juga ditaburkan bukanlah sesuatu yang baharu. Inilah juga yang telah disebut pada persidangan media yang sama berikutan keputusan AELB untuk memberikan TOL kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd:
"… dalam kes ini, adalah jelas, ada orang di atas sana telah di'kow-tim' agar lesen sementara dikeluarkan. Ini tidak boleh diterima," yang fahaman biasa kita bermaksud betapa ada pihak yang telah disogok dalam pemberian TOL ini.
Ugutan pula memang menjadi mainan mereka. Misalnya, sebaik-baik Perdana Menteri juga yang sebut betapa projek ini adalah scientifically safe, Wong jugalah yang mengeluarkan kenyataan membantah lalu mencadangkan penganjuran serentak gabungan Himpunan Hijau dan Bersih 3.0 pula;
"Kami telah terima tindak balas pertama daripada Perdana Menteri kita. Kami rasa teruja, tetapi malangnya jawapan tersebut bukanlah apa yang kami harapkan.
"Kami sedar dan percaya sepenuhnya bahawa, untuk kita mendapat alam sekitar yang bersih, kita memerlukan kerajaan yang bersih," katanya yang bermaksud lebih kurang keperluan rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu yang bersih.
Di sebalik kedegilan ini serta tindakan-tindakan lanjutan yang puak-puak penentang ini ambil, kerajaan pula dilihat bersikap apologetic seterusnya terlalu accomodative hingga seolah-olah memberi muka sangat kepada mereka.
Dalam hal ini, penulis memuji sikap dan cara Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang tetap tegas dan konsisten dalam menangani isu ini, sungguhpun beberapa kenyataannya yang seharusnya dibaca sebagai reverse psychology, dipersendakan oleh puak-puak penentang mahupun puak-puak yang yang apologetic berkenaan.
Sikap tegas inilah yang harus dipelajari dan diteladani oleh semua pihak. Jika kita terus dengan sikap apologetic dan accomodative, adalah dibimbangi bahawa mereka yang majoriti yang sudah pun faham mengenai selamatnya projek ini, akan kembali was-was.
Maka jadilah nanti, 'yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran' dan ini tentunya tidak memberi apa-apa faedah kepada kerajaan. Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment