
Segala aktiviti harian beransur-ansur dikurangkan sedikit demi sedikit. Maka tidak hairanlah pukul 10.00 malam pada masa itu umpama seperti pukul 2.00 pagi pada waktu sekarang.
Kebanyakan mereka tidur lebih awal kerana sangat kurang aktiviti yang dapat dilaksanakan pada sebelah malam, apatah lagi waktu malam begitu sunyi sepi dan gelap gelita.
Namun budaya baik yang seharusnya dipuji ialah mereka bangun seawal pagi sekitar pukul 4.30 pagi untuk memulakan kehidupan di hari baru.
Waktu siang dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari rezeki kerana waktu malam aktiviti mereka sangat terbatas. Mereka yang berada pada zaman itu sudah pasti tidak dapat melupakannya.
Banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berada dalam suasana gelap. Antaranya berjalan jauh dalam suasana yang gelap tanpa sebarang lampu, terjatuh dari tangga kayu bulat kerana tersalah pijak, rumah hampir terbakar kerana api daripada pelita yang dipegang menjilat langsir rumah, terlanggar pintu rumah gara-gara mencari jalan keluar untuk menuju ke tandas dan siling rumah menjadi hitam pekat berpunca daripada asap pelita.
Barangkali banyak lagi suka duka dan pahit maung yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata oleh orang yang pernah merasainya. Pengalaman suka duka ini wajar dikumpul dan dibukukan untuk tatapan generasi akan datang.
Pada 28 Mac lalu, 75 negara menjayakan Earth Hour 2009 termasuk negara kita. Ia bertujuan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang menjadi penyebab utama fenomena pemanasan global.
Warga dunia bersama-sama menjayakan kempen penjimatan sumber tenaga ini dengan memadamkan semua lampu atau perkakas elektrik yang tidak diperlukan pada hari tersebut selama satu jam bermula pukul 8.30 malam.
Sekiranya kita adalah salah seorang daripada jutaan warga dunia yang menjayakannya, bermakna kita adalah warga Malaysia yang perihatin terhadap perubahan iklim dan isu kepupusan sumber tenaga.
Kita bukan tidak biasa bergelap sejam. Kita sudah biasa dengan terputus sumber tenaga elektrik dan terpaksa bergelap seketika. Bagaimanapun terdapat segelintir daripada kita yang tidak puas hati dengan merungut dan melenting apabila bekalan elektrik terputus kerana pelbagai urusan dan aktiviti harian mereka tergendala.
Sudah menjadi lumrah, perkara ini pula cepat sekali diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menuding jari kepada kerajaan dan dipolitikkan.
Kita tidak boleh menyalahkan kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) semata-mata kerana mungkin mereka sedang menghadapi masalah yang rumit untuk diselesaikan pada ketika itu.
Kita hairan kenapa ada pihak yang marah-marah. Mungkin kita sudah biasa hidup dalam keselesaan apabila didatangi sedikit ujian maka kita tidak dapat mengawal emosi.
Barangkali pemanasan global atau dunia kini semakin panas saban hari menyebabkan orang cepat naik darah.
Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi keselesaan kepada kita dan keluarga kita selama ini.
Acara kesedaran alam sekitar ini wajar disokong dan dijayakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia, agama dan warna kulit.
Ia bukan sahaja dapat menjimatkan sumber tenaga, mengurangkan pemanasan global dan membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia.
Tetapi ia juga dapat menginsafkan rakyat Malaysia betapa susahnya orang terdahulu untuk menguruskan kehidupan harian dalam kegelapan berbanding kita pada hari ini. Apabila mahu cahaya, petik sahaja suis, lampu terus menyala.
WARIS PAHANG
Kuantan Pahang
Kuantan Pahang
(Sumber : Utusan Malaysia - Forum - Selasa 31 Mac 2009)