
“Wang tersebut akan digunakan untuk membantu mewujudkan kandungan dalam industri muzik tempatan di mana RTM akan melancarkan satu saluran baru berbentuk hiburan 24 jam iaitu Muzik Aktif di saluran 180 Astro, yang akan diperkenalkan dua hari lagi (Khamis),” katanya.
Beliau berkata peruntukan itu juga membuktikan keperihatian serius kerajaan kepada karyawan tempatan bagi menghasilkan karya bermutu.Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata pengumuman mengenai pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang baru membuktikan kerajaan komited dalam menambah baik daya persaingan negara dalam perkhidmatan penerbangan awam.
“Kerajaan mengenal pasti projek pelaburan bernilai RM5 bilion yang akan dilaksanakan secara ‘off-budget’ termasuk projek LCCT dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang masing-masing dianggarkan berjumlah RM2 bilion dan RM250 juta.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersyukur pakej rangsangan masih memberi keutamaan kepada bidang pendidikan walaupun berlaku kegawatan ekonomi.
“Sekolah-sekolah daif mendapat satu suntikan. Mini bajet ini turut mengambil perhatian terhadap mereka termasuk sekolah bandar dan luar bandar, serta guru-guru,” katanya.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata pakej membolehkan 1,000 orang Pembantu Kesihatan Awam diambil secara kontrak untuk bekerja dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi kerja-kerja pengawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti denggi.
“Kita memerlukan tenaga kerja yang lebih ramai dan cepat dalam memerangi demam denggi secara habis-habisan. Kita memerlukan dana yang lebih untuk membantu kita, jadi pakej ini telah benar-benar memberi kemampuan kepada kita,” katanya.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha pelbagai pihak termasuk pemberian biasiswa oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada pelajar institusi pengajian tinggi akan memberi peluang kepada graduan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. “Pada masa ini kerajaan membiayai sebahagian kos biasiswa bagi mereka yang mengambil Sarjana seramai 10,000 orang dan doktor falsafah (PHD) seramai 500 orang,” katanya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamad berkata pakej rangsangan kedua dapat meringankan beban yang ditanggung oleh semua pihak termasuk petani, penternak dan nelayan.
“Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyediakan peruntukan mikro kredit dan juga peruntukan untuk nelayan. Ini sudah pasti akan meringankan beban mereka kerana krisis (ekonomi) memberi kesan kepada semua orang. Bajet ini adalah bajet yang komprehensif yang meliputi semua pihak termasuk petani, penternak dan nelayan,” katanya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata selain peruntukan RM500 juta yang diumumkan pada awal tahun ini untuk membina rumah golongan miskin tegar, kementeriannya kini diberi kira-kira RM600 juta lagi untuk menyediakan kemudahan bekalan eletrik, air dan jalan di luar bandar.
“Ia secara keseluruhannya merupakan satu pengumuman yang sangat baik,” katanya.
Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mengharapkan agar pengumuman bajet mengenai peluang pekerjaan dan latihan dapat dipenuhi.
“Saya mengharapkan peluang pekerjaan dan latihan yang dijanjikan dipenuhi. Ini dapat menjadi penyelesaian kepada isu pembuangan pekerja,” katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula tidak menyangka jumlah pakej disediakan sehingga mencecah RM60 bilion.
“Jumlahnya bukan sekadar RM10 bilion (seperti yang dijangka pada peringkat awal). Telah saya sebut sebelum ini, jumlahnya perlu ditambah sekurang-kurangnya kepada RM30 bilion,” katanya yang juga Anggota Parlimen Bagan.
Anggota Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw berharap peruntukan dalam pakej rangsangan sampai kepada golongan sasar.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment