Wednesday, April 12, 2017

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Rabu, 12 April 2017.


… projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat negeri Pahang khususnya kontraktor-kontraktor dan pengusaha-pengusaha yang berasal dari negeri Pahang,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang

… sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Rabu, 12 April 2017. 

DALAM MENYEMPURNAKAN TITAH DIRAJA...  

 
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah menitahkan agar projek RM55,000 juta bagi pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di negeri ini, hendaklah dimanfaati oleh rakyat Pahang khususnya para kontraktor dan pengusaha berkenaan.

Dalam menyampaikan Titah DiRaja 21-minit sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Rabu, 12 April di sini, Baginda antara lain menegaskan betapa; 

“Kegiatan pelaburan yang berterusan penting untuk pembangunan ekonomi negeri kerana ianya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Pahang di negeri Pahang, disamping melahirkan kesan putaran (spin-off effect) ekonomi. Sesungguhnya ini baik untuk negeri Pahang.

“Sehubungan dengan ini – (atas) subjek ECRL, adalah harapan saya projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat negeri Pahang khususnya kontraktor-kontraktor dan pengusaha-pengusaha yang berasal dari negeri Pahang”.

Yang segera menyusul ialah pertanyaan; “Betul tak?”, seseperti mahu mengesahkan lagi kebenaran titah-kata Baginda itu, disusuli kedengaran dan kelihatan Baginda sendiri tertawa kecil seketika.

MENYEMBAHKAN TITAH DIRAJA KE SISI KDYMM TUANKU... 
 

SAMBUTLAH CABARAN 

“Saya harapkan, menjadi satu cabaran kepada semua kontraktor dan pengusaha di negeri Pahang (untuk merebut peluang tersebut). Sambutlah cabaran ini, Insya-Allah, mudah-mudahan, mereka dapat menikmati rezeki daripada spin-off effect ini secara lebih berkesan,” titah Baginda lagi. 

Sebelum daripada itu, Baginda ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang telah berjaya mendapatkan pelaburan berimpak tinggi dari negara China dalam projek pembinaan ECRL sepanjang 620 KM itu. 

Berikut ialah teks penuh titah ucapan Baginda; 
 
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, rahmat dan i’nayah-Nya, dapat saya melafazkan Titah DiRaja bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang kali ke-13 pada pagi yang berbahagia ini.

Saya berasa amat berbesar hati kerana setiap kali persidangan dewan undangan negeri berlangsung, ianya telah berjalan dengan baik dan lancar. Ini dibantu pula oleh komitmen dan juga rasa tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat yang sentiasa mengambil bahagian dalam perbahasan, dengan memberikan pandangan membina yang boleh meningkatkan kemakmuran negeri Pahang yang tercinta ini.

MENGAMINKAN DOA SELEPAS SELESAI...

 MEMASTIKAN KERAJAAN NEGERI YANG ADIL DAN BERJIWA RAKYAT

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan atas kecekapan mengendalikan persidangan Dewan.

Kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kerana sentiasa komited dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri yang adil dan berjiwa rakyat. 

Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada ketua-ketua jabatan yang sentiasa membantu menyalurkan maklumat-maklumat yang tepat pada setiap kali perbahasan Dewan ini berlangsung.

Saya gembira melihat pertumbuhan ekonomi negeri Pahang Darul Makmur yang terus kukuh ke arah pembangunan positif. Kerajaan Negeri telah mengunjurkan prospek pertumbuhan ekonomi negeri Pahang pada kadar 4.6 peratus bagi tahun 2017 berbanding dengan kadar 4.3 peratus pada tahun 2016. 

Saya sedia maklum bahawa, Kerajaan telah meneruskan agenda pembangunan dengan pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-11 mulai tahun 2016.
 
SUASANA CERIA SEBELUM BERMULANYA...


KERAJAAN NEGERI SENTIASA SOKONG USAHA KERAJAAN PERSEKUTUAN

Saya amatlah gembira dengan pelaksanaan sebanyak 141 projek baharu dan 190 projek sambungan dengan kos RM2.4 bilion di negeri saya bagi tahun 2016. Saya berharap Rancangan Malaysia Ke-11 akan diteruskan dengan memberikan keutamaan kepada rakyat dan kemakmuran negara. 

Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang sentiasa berusaha mengangkat agenda pembangunan rakyat dalam merangka rancangan pembangunan negara kita.

Saya percaya dan yakin bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Orang Tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, akan melaksanakan semua program di bawah Rancangan Malaysia ke-11 ini dengan lebih berkesan. 

Kerajaan Negeri saya akan sentiasa memberikan sokongan atas usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan berharap ianya akan  meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri saya.

Saya berharap sektor pertanian dan penternakan di negeri ini akan dapat terus diperkasakan bagi menzahirkan hasrat negara memaksimakan pendapatan melalui sektor ini. Saya berharap agar sektor pertanian terus berkembang maju. 

MENUNGGU KEBERANGKATAN TIBA DI LUAR DEWAN...


PENGELUARAN SUSU SEGAR MENINGKAT 18 PERATUS 

Saya gembira dengan peningkatan sebanyak 18 peratus nilai pengeluaran susu segar di negeri ini bagi tahun 2016. Ini menunjukkan industri penternakan mampu menyumbang kepada peningkatan sumber ekonomi yang mampan dalam industri pertanian. 

Saya juga ingin melihat negeri Pahang terus menyumbang kepada usaha untuk negara mencapai matlamat membekalkan bahan makanan yang cukup untuk negara. Ini penting bagi mencapai matlamat ‘food security’ untuk negara yang masih mengimport bahan makanan untuk rakyat.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana nilai pelaburan di negeri Pahang telah meningkat kepada RM5.2 bilion pada tahun 2016 berbanding 3.9 bilion bagi tahun 2015. 

Saya yakin peningkatan pelaburan ini mampu memberikan manfaat ekonomi yang berterusan kepada rakyat negeri ini.

Saya turut mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang telah berjaya mendapatkan pelaburan berimpak tinggi dari negara China dalam pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 KM yang bernilai RM55 bilion yang sangat diperlukan bagi pembangunan negeri Pahang. 

Kegiatan pelaburan yang berterusan penting untuk pembangunan ekonomi negeri kerana ianya akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Pahang di negeri Pahang, disamping melahirkan kesan putaran (spin-off effect) ekonomi. Sesungguhnya ini baik untuk negeri Pahang.

BETUL TAK?

Sehubungan dengan ini – (atas) subjek ECRL, adalah harapan saya projek ECRL ini seharusnya dinikmati oleh rakyat negeri Pahang khususnya kontraktor-kontraktor dan pengusaha-pengusaha yang berasal dari negeri Pahang. Betul tak?

Ini saya harapkan menjadi satu cabaran kepada semua kontraktor dan pengusaha di negeri Pahang. Sambutlah cabaran ini, insya-allah, mudah-mudahan mereka dapat menikmati rezeki daripada spin-off effect ini secara lebih berkesan. 

Pembangunan modal insan penting bagi negeri Pahang untuk terus berkembang dalam semua bidang kehidupan di negeri ini. Saya gembira dengan usaha-usaha Yayasan Pahang dalam peningkatan akses dan kecemerlangan pendidikan di negeri saya. 

Saya dimaklumkan akan pemberian biasiswa kepada mereka yang layak sebanyak RM6.9 juta melalui program Biasiswa Sekolah Rendah, manakala RM19.2 juta melalui program Biasiswa Sekolah Menengah. 

Dan saya turut mengharapkan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pelajaran dan Jabatan Tenaga Kerja akan terus memainkan peranan proaktif bagi membantu usaha Kerajaan membangun dan memantapkan pembangunan modal insan di negeri ini. 

AKAN BINA 21 KLINIK 1MALAYSIA

Usaha-usaha seperti bantuan pendidikan dan penyediaan kursus-kursus berkaitan hendaklah dilipatgandakan bagi tahun 2017. 

Perkhidmatan kesihatan perlu terus diperkukuhkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Berikutan itu, saya  mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang yang terus berusaha kuat dalam melanjutkan perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik kesihatan terpilih sehingga 9.30 malam selain meningkatkan bilangan Klinik 1Malaysia ke 21 buah klinik di seluruh negeri Pahang.

Saya juga gembira dengan pendekatan menaiktaraf semua klinik kesihatan desa yang memfokuskan kepada perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak menjadi klinik kesihatan jenis 7 yang akan mempunyai perkhidmatan pesakit luar dan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Saya mengambil maklum bahawa sumber hutan terus menjadi tulang belakang kepada agen pembangunan bagi negeri Pahang Darul Makmur. 

Bagi tahun 2016, industri berasas kayu dan eko-pelancongan telah menyumbang kepada hasil kerajaan negeri berjumlah RM96 juta dan dijangka akan terus meningkat bagi tahun 2017.

SOKONG SARANAN MENTERI BESAR SUPAYA TEROKAI SUMBER-SUMBER BAHARU

Walaupun hasil hutan terus meningkat, saya turut menyokong penuh saranan Orang Tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, semasa membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur 2017 supaya meneroka sumber-sumber baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil hutan dan bumi bagi meningkatkan hasil pendapatkan negeri demi pembangunan negeri tercinta ini. 

Sehubungan itu, saya menyeru supaya semua pihak memberi kerjasama dalam meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Negeri Pahang. 

Saya berharap dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, selain dapat memberikan impak positif kepada ekonomi negeri ianya hendaklah turut mengambilkira kepentingan pemuliharaan alam sekitar. 

Saya ingin mengingatkan Kerajaan saya semula supaya memberikan keutamaan kepada pemuliharaan alam sekitar dalam melaksanakan semua rancangan pembangunan. Kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti tanahtinggi, punca air dan yang seumpamanya mestilah diambil kira dalam melaksanakan setiap rancangan pembangunan. 

Ini perlu kerana negeri dan isi kandungannya bakal diwarisi oleh generasi yang akan datang. Kita wajib meninggalkan satu warisan yang berterusan dan berkekalan kepada generasi akan datang. 

ALAM SEKITAR SEMPURNA BOLEH GALAKKAN PELANCONGAN 

Keadaan alam sekitar yang baik dan sempurna serta dikawal rapi boleh menggalakkan kegiatan pelancongan di negeri ini. Kegiatan pelancongan yang progresif boleh membantu mewujudkan kegiatan putaran ekonomi yang baik untuk negeri ini.

Semua agensi mestilah berganding bahu dalam perkara ini dan penceroboh tanah-tanah kerajaan mestilah diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi memastikan masa depan rakyat akan sentiasa terjamin.

Agama Islam akan terus menjadi teras utama di negeri Pahang ini. Saya berharap semua agensi dan jabatan di negeri Pahang mendokong asas yang sama dalam pengurusan pembangunan Islam di negeri Pahang. 

Ini mampu untuk memberi gambaran yang baik dan membina perpaduan dikalangan rakyat saya. Program-program keagamaan yang dekat di hati rakyat perlu diberi nilai tambah agar ianya dapat melahirkan masyarakat yang besatu padu dan sentiasa berkasih sayang.

Saya difahamkan terdapat pelbagai program seperti program hafazan al-Quran, program tilawah al-Quran, program latihan khas qari dan qariah serta program pembangunan al-quran telah dilaksanakan pada tahun 2016 bagi memantapkan kualiti pembacaan dan penghayatan al-Quran.

RUMAH MAKMUR DAN PR1MA PAHANG

Saya mengucapkan tahniah kepada semua agensi agama Islam yang terlibat didalam program ini semoga usaha murni ini akan  terus berkekalan.

Saya amat memahami dan sangat bersimpati dengan rakyat saya yang sebilangan besarnya masih lagi dihimpit oleh tekanan sara hidup yang semakin meningkat. Kita memahami bahawa ekonomi negeri dan negara kita terkesan oleh keadaan dan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Dalam hal ini saya berharap Kerajaan saya terus memberikan perhatian dan mencari jalan bagaimana golongan rakyat yang terhimpit ini dapat dibantu. Bantuan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan, golongan miskin, mereka yang menghidap penyakit kronik hendaklah dibantu secara berterusan sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan selama ini. 

Bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat, saya sangat berbangga dan mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah mewujudkan program rumah mampu milik iaitu rumah makmur dan rumah PR1MA Pahang. 

Saya difahamkan sehingga kini Kerajaan Negeri telahpun meluluskan sebanyak 102 projek PR1MA Pahang dengan lebih 37,000 unit rumah. Manakala bagi Rumah Makmur yang mensasarkan golongan berpendapatan kurang daripada RM5,000 dan ke bawah, sebanyak lima (5) projek telah diluluskan melibatkan pembinaan sebanyak lebih kurang 1,900 unit rumah. 

LIPUTAN BEKALAN AIR BERSIH 

Saya turut sukacita dengan pencapaian Kerajaan saya yang telah berjaya meningkatkan liputan bekalan air bersih ke 98 peratus di seluruh negeri pahang dan 100 peratus bekalan di kawasan bandar.

Pada tahun 2017, RM89 juta telah diperuntukkan bagi tujuan menyiapkan projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air baharu serta menaiktaraf sistem yang sedia ada. Saya berharap dengan peruntukan ini, bekalan air bersih bagi rakyat saya di luar bandar akan dapat dipertingkatkan lagi daripada 96 peratus. 

Di kesempatan ini juga, saya turut ingin mengingatkan semua penjawat awam negeri saya supaya sentiasa memastikan integriti di tahap tertinggi dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai penjawat awam bagi memberikan manfaat terbaik kepada rakyat saya.

Pada pagi yang berbahagia ini, saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Orang Tua saya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia atas segala bantuan dan sokongan yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri saya dalam usaha membangunkan negeri dan membantu rakyat negeri Pahang Darul Makmur. 

Saya juga melafazkan ucapan terima kasih kepada Orang Tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur untuk kepentingan dan faedah rakyat sekelian.

Semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk, taufik dan hidayahnya dalam apa jua yang kita lakukan untuk kebaikan bersama negeri Pahang ini.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar
http://khabarpahang.blogspot.my/2017/04/projek-ecrl-ini-seharusnya-dinikmati.html

Tuesday, April 11, 2017

Pemimpin DAP Pahang Mahu Mufti Agama Islam Ditangkap


11/04/2017 – Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd. Ariff Sabri mahu pihak berkuasa menangkap dan penjarakan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman kerana telah mengkafirkan orang Islam sebelum ini.
Ahli Parlimen Raub itu mendakwa Mufti Pahang itu perlu masuk penjara kerana kesalahannya.
“Tangkap mufti pahang kerana tuduh orang kafir. Saya diberitahu dia (Abdul Rahman) bila time raya Cina dia menyorok takut orang (Cina) tanya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan olok-olok Rang Undang-Undang 355 (RUU 355), malam tadi.
Malah Mohd Ariff yang juga bekas ahli UMNO dan kini wakil rakyat Melayu daripada DAP itu juga mengecam parti Islam itu yang dikatakan suka mengkafirkan orang berhubung RUU 355.
Dalam pada itu, beliau juga mendakwa masyarakat Cina tidak suka kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbanding dengan Allahyarham, Datuk Nik Aziz Mat.
Ini kerana menurut Mohd Ariff, Abdul Hadi tidak disukai kerana sering berubah termasuk memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.
Di samping itu, beliau juga mempersoalkan jika diluluskan RUU 355 adakah ia dapat menangani masalah moral dalam kalangan umat Islam sekiranya keadilan sosial lain tidak dilakukan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga kononnya meluahkan rasa kesal apabila ada pihak menuduh pembangkang dalam kalangan muslim tidak beriman kerana menentang tindakan menangguhkan perbahasan RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Malah beliau juga menyifatkan pihak yang menuduh sedemikian dikatakan tidak pandai berbahas dengan mereka.
RUU 355 pertama kali dibentangkan Hadi pada Mei 2016, dan pada November lalu, ahli Parlimen Marang itu meminda usul tersebut dengan mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda kepada maksima RM100,000 dan hukuman sebat kepada maksima 100 kali.
http://utaranews.com/2017/04/pemimpin-dap-pahang-mahu-mufti-agama-islam-ditangkap.html/

Tuesday, April 4, 2017

Mufti Perak nasihatkan Siti Kasim belajar agama Islam sebelum bercakap.

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria hari ini menasihati Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim agar mempelajari dan memahami agama Islam sebelum membuat kenyataan tentang agama itu.


Kata beliau, sebagai peguam, Siti Kasim tidak sepatutnya menyentuh isu tauhi yang jelas bukan bidangnya.
“Perbuatan itu boleh menjurus kepada murtad. Orang yang murtad itu terkeluar daripada Islam dan kalau mati pun tak boleh ditanam di perkuburan Islam,” katanya dalam sidang media di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.
Harussani mengulas laporan media yang menyebut tentang kenyataan Siti Kasim berhubung tuhan dalam satu temu bual dalam talian dengan media berbahasa Cina beberapa tahun lepas.
“Saya menasihatkan (Siti Kasim) untuk tidak campur dalam urusan agama yang kita tidak tahu. Belajarlah.
“Kita beruntung kerana dilahirkan sebagai orang Islam. Cukup beruntung. Pelajarilah agama Islam yang dibawa oleh mak dan bapa kita. Kita pertahanlah agama itu. Jangan kita bercakap perkara yang kita tidak tahu kerana itu akan merosakkan diri kita,” kata Harussani lagi.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil Siti Kasim untuk diambil keterangan berhubung kenyataannya berkaitan kewujudan tuhan.- Bernama

Friday, March 24, 2017

Pemergian Srikandi Negara di hari Jumaat yang mulia ini


Belasungkawa. Innalillahi waina illaihi rojiun... Dukacita dimaklumkan Srikandi Negara kita, Y.Bhg. Datuk Hajjah Siti Rahmah Binti Haji Kasim bekas ADUN Terentang Rembau telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.
Perginya seorang Pejuang Kemerdekaan - orang yang telah memberi "Gelang Emas" beliau untuk Tuanku Abdul Rahman menuntut kemerdekaan Malaysia di London.
Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman... Al Fatihah
LIMA '17 terima RM3.8 billion perjanjian  




Sebanyak 35 perjanjian  melebihi RM 3.8 bilion dimeterai sempena LIMA'17 yang berlangsung di Langkawi.
             
Jumlah itu meningkat 81 peratus atau RM1.68 bilion berbanding LIMA'16 yang mencatatkan RM2.095 bilion perjanjian.

Daripada 35 perjanjian itu, 11 melibatkan kontrak, 12 memorandum persefahaman (MoU), tujuh surat persetujuan (LOA) dan lima surat hasrat (LOI) membabitkan kontrak pembekalan, perkhidmatan serta penyelenggaraan aset ketenteraan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

LIMA'17 mencatat rekod penyertaan terbesar dengan 550 pempamer daripada 36 buah negara antaranya Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Perancis.

#NEGARAKU

Wednesday, February 8, 2017

Kesungguhan Najib Tuntut Semula Pulau Batu Putih

INILAH bahananya apabila segalanya dipolitikkan, Sehinggakan apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengutarakan tiga fakta baharu yang mendorong Malaysia menuntut semula Pulau Batu Putih setelah lapan tahun hak kedaulatan pulau itu diserahkan kepada Singapura pun dianggap sekadar `drama minggu ini'.

Kononnya dakwa si polan terbabit, tuntutan Malaysia itu yang `tiba-tiba muncul' bertujuan `mengaburi mata rakyat yang mempunyai beberapa prasangka buruk terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib terutama dalam hubungan ekonomi dengan China'. Apa punya dangkal dan `busuk hati' si polan ini. Tak baca suratkhabarkah atau siaran berita online yang memaparkan kenyataan penuh ICJ sebab-sebab Malaysia membuat tuntutan baharu itu. 

Cuba si polan ini baca semula kenyataan ICJ yang baru dikeluarkan Jumaat lalu ini. Intipatinya seperti berikut: 
i. Tuntutan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih ini merujuk kepada tiga dokumen yang ditemukan di National Archives of the United Kingdom. 
ii. Dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an. 
iii. Dokumen berkenaan ditemukan di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Jan 2017. 
iv. Fakta itu tidak diketahui Malaysia atau mahkamah itu ketika penghakiman mengenai kes berkenaan diumumkan kerana ia hanya ditemukan ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan setelah arkib itu mendedahkan kepada umum bahan itu selepas penghakiman diumumkan pada 2008." 
v. Kegagalan (Malaysia) menyedari kewujudan fakta baharu itu bukanlah disebabkan kecuaian, tetapi kerana dokumen berkenaan merupakan dokumen sulit yang tidak boleh dicapai pihak awam, sehinggalah ia dikeluarkan UK National. 

Jadi, janganlah si polan atau pihak yang memperlekehkan usaha Malaysia untuk menuntut semakan semula ICJ terhadap Pulau Batu Putih ini menyalahkan Wisma Putra kononnya lalai dan tidak cekap sehingga memberi kemenangan kepada Singapura pada 2008. Kalau difikirkan secara rasional dan dengan hati yang bersih serta ikhlas pun, buat apa Malaysia hendak menjadikan hubungan dengan Singapura renggang dalam kita sedang berminat menjalin kerjasama pelaburan bernilai tinggi dengan republik itu.Ini termasuklah projek keretapi laju. 

Yang penting isu tuntutan pulau ini berteraskan hak yang tetap hak. Justeru, kena tabiklah apa yang sedang diusahakan kerajaan pimpinan Najib yang bertekad untuk mengembalikan kedaulatan Pulau Batu Putih ke pangkuan negara.

Tuesday, December 16, 2014

UCAPAN BAJET 2015 YAB MENTERI BESAR PAHANG

Kuantan - Pagi tadi YAB DSDR Menteri Besar Pahang berucap membentangkan Bajet 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2. Berikut disiarkan teks ucapan penuh Bajet 2015. Dewan akan bersidang lagi esok. ........................................................................................................................................................... ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan satu Rang Undang-Undang dinamakan : “Satu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud tertentu” dibaca bagi kali kedua. Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, PENDAHULUAN Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T., selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W., dengan izin dan kurnia-Nya dapat saya serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian hadir Di Dewan Yang Mulia Ini. Sekali lagi dapat saya membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2015 Sempena Persidangan Kali Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Yang Ketiga Belas di pagi yang mulia ini. Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, LATAR BELAKANG Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang telah membentangkan Bajet Negara Tahun 2015 pada 10 Oktober 2014 yang lalu. Bajet yang dibentangkan ini bertemakan “Bajet 2015 : Ekonomi Keperluan Rakyat” . Bajet tahun 2015 digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan Rakyat dengan tujuh (7) strategi utama iaitu : Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi Memantap Tadbir Urus Fiskal Mengupaya Modal Insan Dan Keusahawanan Memperkasa Agenda Bumiputera Memartabatkan Peranan Wanita Membangun Program Transformasi Belia Negara ; dan Mensejahterakan Rakyat. PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. kerana Negeri Pahang terus berkembang pesat selari dengan arus globalisasi. Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah mencatat pelaburan yang diluluskan beserta insentif berjumlah RM7.76 bilion dan mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baru berbentuk mahir dan separuh mahir. Pada tahun 2014, KDNK Negeri diunjurkan mencapai RM26.759 bilion dengan kadar pertumbuhan 5.5 peratus berbanding tahun 2013 yang telah mencapai 5.6 peratus. Pendapatan per kapita penduduk dijangka mencecah RM26,750 dengan kadar peningkatan 1.8 peratus berbanding tahun 2013. Selaras dengan pendapatan per kapita yang meningkat, purata pendapatan bulanan isi rumah diunjurkan naik kepada RM4,100 pada tahun 2014 iaitu peningkatan 4 peratus berbanding tahun 2014. Kadar kemiskinan (miskin tegar) diunjurkan berkurangan kepada 0.15 peratus dari jumlah penduduk Negeri Pahang. Memandangkan keadaan ekonomi negeri yang semakin sihat, kadar pengangguran telah dapat dikurangkan kepada 2.5 peratus (tahun 2014) berbanding 2.6 peratus pada tahun sebelumnya. Bilangan tenaga kerja dijangka meningkat pada kadar 4.6 peratus dan perkembangan ini adalah didorong dengan peluang pekerjaan baru yang ditawarkan di dalam pelbagai sektor di negeri ini. Menjelang tahun 2015, Ekonomi Negeri terus diterajui oleh sektor perkhidmatan yang akan menyumbang 51 peratus iaitu RM16,632 juta kepada KDNK Negeri. Dalam tempoh Rolling Plan keempat RMK-10 (2014-2015), sebanyak 203 projek dengan nilai pelaburan berjumlah melebihi RM12 bilion telah diluluskan di Negeri Pahang melalui Agensi pelaksana seperti ECER, MIDA, lain-lain Agensi Negeri dan swasta, dijangka akan terus merancakkan pertumbuhan Ekonomi Negeri. PERUNTUKAN BAJET 2015 Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Pada Tahun 2015, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan Bajet sejumlah RM872.42 juta untuk Belanja Mengurus dan Projek Pembangunan. Peruntukan Bajet ini terdiri daripada RM687.33 juta Anggaran Perbelanjaan Mengurus dan Anggaran Program Pembangunan berjumlah RM185.09 juta terdiri daripada RM90.09 juta dari Sumber Negeri dan RM95.00 juta dari pinjaman Kerajaan Persekutuan. Sejumlah RM687.33 juta adalah terdiri daripada RM509.92 juta, Batas Perbelanjaan Jabatan, RM13.11 juta Dasar Baru (emolumen dan lain-lain seperti kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan Pekeliling terbaru) dan RM164.30 juta untuk Bajet One-Off. Bajet One-Off disediakan adalah untuk Bayaran Pinjaman FGV (Felda Global Venture), bayaran gaji dan elaun kepada kakitangan kontrak, pembelian harta modal untuk peralatan kerja dan perabot pejabat, penyelarasan pinjaman ke akaun hasil, caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan dan lain-lain perbelanjaan seperti hospitaliti, tuntutan insuran dan sebagainya. Kutipan hasil pada tahun 2015 dianggarkan berjumlah RM879 juta dan Bajet untuk Mengurus dan Pembangunan berjumlah RM872.47 juta. Bajet tahun 2015 adalah Bajet surplus kali yang ke-12 dalam tempoh 21 tahun (1992-2013). Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa berhemah dalam menguruskan kewangan Negeri. Pada tahun 2015 sekali lagi Bajet Negeri Pahang menunjukkan surplus atau lebihan sebanyak RM6.58 juta iaitu ‘surplus’ ke-12 dalam tempoh 21 tahun sejak 1992. Anggaran Kutipan Hasil sebanyak RM879 juta itu diperolehi daripada kutipan hasil Tanah dan Galian RM371 juta, Hasil Perhutanan berjumlah RM98 juta, Pemberian Geran daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM165 juta dan lain-lain Hasil berjumlah RM245 juta. FOKUS BAJET NEGERI Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2020 adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Pusat. Fokus utama seperti dinyatakan adalah untuk menitik beratkan keseimbangan di antara “capital economy” dan “people economy”. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus mengamalkan belanja berhemah serta mengurangkan defisit fiskal. Tumpuan Bajet 2015 adalah kepada tiga (3) perkara utama iaitu : Pertama : Memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan daya saing Negeri. Kedua : Mensejahterakan Rakyat serta memperkasa Agenda Bumiputera, dan, Ketiga : Mengurus Pembangunan Modal Insan dengan mengukuhkan pendidikan. Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Pertama : MEMPERKUKUHKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MEMPERTINGKATKAN DAYA SAING NEGERI Menyediakan Persekitaran Kondusif Kepada Pelaburan. Pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) merupakan antara tonggak utama yang telah melonjakkan Ekonomi Negara dan dijangka terus mencapai matlamat Wawasan 2020. Antara Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dan Model Ekonomi Baru (MEB) adalah untuk ‘memastikan kebolehmampanan pertumbuhan’ iaitu memulihara sumber asli serta melindungi kepentingan generasi masa depan. Negeri Pahang terus menjadi pilihan kepada pelabur-pelabur sebagai destinasi pelaburan utama di negara ini. Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) telah berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM10.5 bilion serta akan mewujudkan 8,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Pahang dan Kuantan khasnya. Projek ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya dalam masa dua (2) tahun akan datang yang mana sekarang ini masih di dalam peringkat awal pelaksanaan. Bagi memastikan Negeri Pahang dapat terus membangunkan perindustrian untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri, penyediaan persekitaran kondusif perlulah dilaksanakan. Pembangunan sistem Bekalan Air bertujuan menyediakan kemudahan kepada rakyat dan pelabur domestik dan luar negara telah diberi peruntukan yang tinggi dalam tempoh RMK-10 (2011-2015). Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM945.5 juta bagi tujuan pembangunan sistem Bekalan Air dan meningkatkan mutu perkhidmatan Bekalan Air dengan sasaran kawasan liputan bekalan sehingga 98 peratus di seluruh Negeri Pahang. Sejumlah RM242.85 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan Sistem Bekalan Air. Sebanyak 13 projek Bekalan Air yang melibatkan 60 pakej kontrak telah dilaksanakan melibatkan kerja-kerja pembinaan loji rawatan air baru, pembinaan tangki simpanan air, pemasangan paip dan menaiktaraf sistem sedia ada. Siapnya projek ini, Bekalan Air di Gebeng dan Cherating akan menjadi lebih stabil dengan gangguan yang minima dan dijangka akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan industri pengilangan dan pelancongan. Meningkatkan Jaringan Perhubungan. Pembangunan rangkaian jalan yang lebih luas dan efisien akan menyumbang kepada pembangunan Negeri dan Negara. Terlaksananya Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dari Kuantan ke Kuala Terengganu menyumbang kepada pertumbuhan di Pantai Timur. Rangkaian jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highlands dan dari Jerantut ke Sungai Lembing adalah menjadi keutamaan Negeri. Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.0 juta untuk skop kerja ukur dari Sungai Lembing ke Jerantut dan pelaksanaannya akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Adalah diharapkan dengan siapnya projek naik taraf jalan serta pembinaan jalan baru kelak akan meningkatkan tahap kecekapan sistem perhubungan jalan raya, kelicinan pengaliran trafik dan pengangkutan komoditi dari setempat ke setempat, pengurangan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Dengan peningkatan keselamatan serta keselesaan pengguna akan menggalakkan pewujudan pelbagai kegiatan ekonomi di persekitaran yang terlibat dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk. Nilai hartanah juga turut meningkat seiring dengan pelaksanaan projek naik taraf serta pembinaan jalan raya yang baru. Kemudahan infrastruktur telekomunikasi bersepadu telah meliputi semua kawasan industri di Negeri Pahang. Bagi kawasan-kawasan industri baru seperti di kawasan Kuantan Hi-Tech Park, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Kuantan Water Front Resort City, kemudahan infrastruktur telekomunikasi secara bersepadu diberi keutamaan untuk memastikan tiada gangguan telekomunikasi di kawasan ini. Menggalakkan Industri Kecil Dan Sederhana (PKS). Sumbangan PKS kepada KDNK adalah tinggi. Di dalam Bajet yang dibentangkan oleh Kerajaan Persekutuan, banyak insentif akan diberi kepada golongan ini. Oleh kerana Negeri Pahang menjadi pengeluar utama hasil pertanian, pengusaha-pengusaha PKS ramai bertumpu di sektor ini. Tiga (3) bidang utama iaitu pertanian, ternakan dan perikanan diberi tumpuan utama pembangunan PKS ini. Melalui pembangunan Industri Asas Tani (IAT), kawasan kluster tanaman tanah terbiar, mensasarkan pendapatan usahawan melebihi RM2000/bulan. Pembangunan produk dan kawalan mutu telah turut diberi perhatian. Satu Daerah Satu Industri adalah satu usaha untuk mengetengahkan satu produk bagi setiap satu daerah dan sedang giat dipromosikan. Pada awal RMK-10, jumlah projek IAT melebihi 300 projek seperti mana yang disasarkan dan pengeluaran telah melebihi RM28 juta setahun. Pencapaian sehingga Jun 2014 pengeluaran kasar telah mencapai sebanyak RM23.8 juta dan telah membimbing sebanyak 740 projek. Sehingga kini, sebanyak 310 projek telah mencapai pendapatan melebihi RM2,000/bulan. Negeri Pahang yang melibatkan tiga (3) daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin merupakan penyumbang pendaratan ikan laut kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Perak. Sebanyak 110,594 tan metrik ikan marin bernilai RM1.28 bilion telah dikeluarkan. Perikanan darat juga diberi tumpuan kepada pengusaha-pengusaha ternakan ikan di sepanjang sungai-sungai di Negeri Pahang. Benih-benih ikan telah dilepaskan supaya pendapatan berterusan nelayan-nelayan sungai di Negeri Pahang terjamin. Meningkatkan Potensi Industri Pelancongan Dan Warisan. Negeri Pahang menduduki tempat kedua selepas Kuala Lumpur dengan kemasukan Pelancong seramai 10.6 juta dan menjana pendapatan berjumlah RM7.08 bilion pada tahun 2013. Bilangan kemasukan pelancong dijangka akan meningkat pada tahun 2015 berikutan daripada Tahun Melawat Malaysia (tahun 2014) diikuti dengan “Year of Festival”. Bagi terus menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan Negeri akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf 4 dan 5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekali gus menarik kedatangan pelancong, terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi. Menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri melalui Agensi berwajib akan membantu pihak pelabur yang berminat bagi mengenal pasti kawasan tarikan berpotensi untuk pembangunan yang dinyatakan di atas memandangkan Pahang terkenal antara destinasi pilihan pelancong terutamanya bagi percutian dan kembara alam semula jadi. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap pemeliharaan aset dan pengekalan Budaya Warisan yang menjadi satu daripada produk pelancongan di Negeri Pahang. Muzium Negeri di Pekan telah diubah suai dan mendapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan. Muzium Masjid Sultan Abdullah yang terletak bersebelahan dengan Muzium Sultan Ahmad Shah, Pekan sedang dibangunkan untuk dijadikan Muzium ISeni slam dengan mengekalkan ciri-ciri sebagai sebuah masjid. Unsur- unsur binaan serta sejarah Islam di seluruh Negara akan dipamerkan disini untuk tatapan pelancong dari dalam dan luar negara. Kedua : MENSEJAHTERA RAKYAT SERTA MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Perumahan Untuk Rakyat. Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah kediaman. Oleh itu, tindakan menyediakan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki oleh rakyat negeri ini telah dirancang. Kerajaan Negeri telah mensasarkan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima (5) tahun dari tahun 2013 hingga tahun 2018. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah meluluskan dan melaksanakan pembinaan lebih 17,000 unit rumah merangkumi semua daerah di Negeri Pahang melalui Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang. Jumlah sasaran tersebut dijangka akan bertambah berdasarkan sokongan dan permohonan daripada pemaju-pemaju swasta untuk melaksanakan projek PR1MA Pahang yang sangat menggalakkan. Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan pelaksanaan 1,400 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat DiMiliki (PPRM) dan Rumah Idaman Rakyat yang akan dilaksanakan pada tahun 2015 di beberapa lokasi di Kuantan, Cameron Highlands, Jerantut, Bentong, Maran dan Lipis. Projek-projek ini akan memberi faedah kepada semua golongan rakyat bukan sahaja golongan berpendapatan rendah tetapi juga golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan kurang daripada RM5,000.00 sebulan bagi satu isi rumah. Pembangunan Orang Asli. Masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan. Oleh itu, program meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli bagi membiayai program ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli diteruskan. Peruntukan khas telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan bertujuan membiayai dan meningkatkan kualiti hidup Orang Asli khususnya keluarga miskin dan miskin tegar. Anak-anak Orang Asli menerima pendidikan di sekolah rendah dianggarkan berjumlah 12,000 orang dan seramai 5,000 orang di sekolah menengah. Mereka diberikan bantuan galakan pendidikan iaitu bantuan pakaian seragam, mengurangkan yuran pengajian, bantuan makanan, kelas tambahan peperiksaan dan kursus-kursus motivasi. Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan kemiskinan tegar di pedalaman, menyusun semula kampung supaya kualiti hidup meningkat, membangunkan minda supaya Orang-orang Asli dapat berintegrasi dengan masyarakat-masyarakat lain dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli untuk kehidupan mereka yang lebih baik. Meningkatkan Taraf Kesihatan Rakyat. Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Kualiti penjagaan kesihatan perlu dipertingkatkan secara berterusan dan diperkukuhkan selaras dengan kemajuan negara. Matlamat utama adalah memastikan setiap lapisan dari setiap golongan masyarakat mendapat akses kemudahan kesihatan yang disediakan. Jaminan Keselamatan Awam. Secara keseluruhannya, keadaan jenayah indeks di Negeri Pahang berada dalam keadaan terkawal. Namun perasaan ‘fear of crime’ harus dikurangkan ke tahap yang paling minima sekali supaya masyarakat dapat merasai kehadiran Polis DiRaja Malaysia dan tahap kepercayaan masyarakat kepada Polis DiRaja Malaysia akan dapat ditingkatkan. Hubungan baik dengan masyarakat perlu diwujudkan melalui ‘community policing’ dan program-program pencegahan jenayah terutama di kampung dan FELDA. Ketiga : MENGURUS PEMBANGUNAN MODAL INSAN DENGAN MENGUKUHKAN PENDIDIKAN Menentukan kejayaan bagi sesebuah Negeri adalah bergantung kepada sumber manusianya. Beberapa langkah telah diambil iaitu : - Memantapkan Prestasi Sekolah Dan Profesional Perguruan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 mensasarkan 100 peratus enrolmen pelajar semua peringkat pendidikan pra sekolah hingga menengah atas. Menjelang tahun 2020, setiap pelajar akan mempunyai kemahiran memimpin, berfikir, berpengetahuan dan menguasai kemahiran dwibahasa. Pelajar-pelajar juga beretika dan mempunyai nilai rohani yang tinggi serta mempunyai identiti nasional sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pada masa ini di Negeri Pahang terdapat sebanyak 537 buah sekolah rendah dengan jumlah murid seramai 164,960 orang. Sekolah menengah pula berjumlah 194 buah sekolah dengan jumlah murid seramai 279,242 orang. Bilangan guru 26,411 orang. Hasrat Kerajaan untuk mencapai 100 peratus guru siswazah di sekolah menengah dan 50 peratus di sekolah rendah akan dapat dicapai dengan adanya dasar program pensiswazahan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015. Melalui dasar ini, semua guru di sekolah menengah yang dilantik mempunyai ijazah dan guru-guru mengajar di sekolah rendah, 50 peratus bilangan akan mempunyai ijazah. Manakala usaha untuk merapatkan jurang di antara Sekolah luar Bandar dengan Bandar akan terus dipergiatkan dengan memastikan projek pembangunan dan naik taraf fizikal Sekolah Luar Bandar diberikan keutamaan. Pelajar-pelajar yang memilih untuk meneruskan pengajian di sekolah-sekolah Agama Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Agensi utama menggembeling seluruh tenaga bagi memastikan tahap pendidikan Islam dan pendidikan kebangsaan dilaksanakan dengan berkesan dan bermutu bagi melahirkan generasi yang kompetitif. Program Pendidikan Islam Pahang akan terus menekankan pendekatan bersepadu antara dua (2) kurikulum iaitu Kurikulum Nizam Bouth dan Kurikulum Kebangsaan (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah/KBSM). Adalah diharapkan pelajar-pelajar yang tamat dalam program ini akan dapat menyumbangkan kepada pembangunan ummah. PENUTUP Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Badan-Badan Berkanun, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai-Pegawai dan Anggota-Anggota Keselamatan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan seluruh rakyat Negeri Pahang yang telah mewujudkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup di negeri yang kita sayangi ini. Marilah kita berdoa dan berharap agar semua yang dirancang akan dapat dilaksanakan dengan jaya dan kestabilan Negeri Pahang akan terus kekal selama-lamanya. Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan.

Sunday, December 14, 2014

Kalimah Allah: Kuasa Yang Dipertua Negeri

BAGAN DATOH 13 Dis. – Ketua Menteri di sesebuah negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau menentukan sesuatu keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertua Negeri yang mewakili Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri berkenaan. “Walaupun fatwa harus dilaksanakan di peringkat negeri dan hal ehwal agama Islam adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, kuasa eksekutifnya tidak terletak kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri,” katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Karnival Sukan Air Bagan Datoh yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Jeti Bagan Datoh di sini. Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup. Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang dilaporkan beberapa portal berita semalam, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah. Ahmad Zahid seterusnya memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika menerima laporan polis berhubung pendirian Guan Eng tersebut. Menurutnya, isu berkaitan hal ehwal agama Islam sepatutnya diserahkan kepada Mahkamah Syariah yang akan melakukan pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Anda Juga Meminati

Blog Widget by LinkWithin

Sambutan Sempena Pelantikan PM Di Kuantan - 18 April 2009

Sambutan Sempena Pelantikan PM Di Pekan - 18 April 2009

LAGU WARISAN

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan

Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus ku bawakan
Ke mana harus ku semaikan cinta ini

Betapa di bumi ini ku melangkah
Ke utara, selatan, timur dan barat
Ku jejaki

Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

KATA HIKMAH


‘‘ANAK bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti Si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung.”

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

PETIKAN KENYATAAN SEORANG PEMIMPIN MIC TUN V.T SAMBANTHAN PADA 1 JUN 1965 :

''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.

Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.

Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?

''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma.

Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku diMalaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''.

Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu.

Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''

PETIKAN KENYATAAN SEORANG PEMIMPIN MCA, TUN TAN SIEW SIN PADA 30 APRIL 1969 :

''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah.

Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

Wasiat Raja-Raja Melayu ini disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu dan adalah berikut:

“Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.

Pertama - Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA ).

Kedua - Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYUsehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ketiga - Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hakmilik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

Keempat - Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.

Kelima - Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan.

Keenam - Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU.

Ketujuh - Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

SUARA ANAK PHG (Klik Sini)

SUARA ANAK (F) PHG (Klik Sini)

AHLI BPN

AHLI BPN
BLOGGERS PEMBELA NEGARA

MOH CIPTA SEJARAH

BLOG PAHANG DIPANTAU WP