RM28.7j penempatan semula Orang Asli
RAUB 6 Ogos - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM28.7 juta bagi membina Rancangan Penempatan Semula Orang Asli (RPS) Sungai Temir dekat sini yang terlibat dengan projek Empangan Klau bagi menyalurkan air mentah ke Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, peruntukan itu bagi membina 115 rumah Orang Asli di penempatan baru di Sungai Bilut.
Katanya, pemindahan itu dilakukan kerana kawasan perkampungan Orang Asli Sungai Temir yang membabitkan tanah rizab Orang Asli seluas 105 hektar akan ditenggelami air disebabkan pelaksanaan projek tersebut.
''Kesemua keluarga Orang Asli Sungai Temir akan dipindahkan ke RPS membabitkan kawasan seluas 342 hektar dan keluarga yang terlibat akan mendapat sebuah rumah berkeluasan 700 kaki persegi serta mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air bernilai RM25,000 seunit," kata Fah Kui.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan masyarakat Orang Asli Sungai Temir menandatangani persetujuan untuk berpindah ke RPS Sungai Bilut bagi memberi laluan kepada pembinaan Empangan Klau di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri kementerian berkenaan, Noriah Kasnon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.
Menurut beliau, penempatan baru itu menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur asas seperti jalan, jambatan, bekalan air dan elektrik, telekomunikasi, tadika, surau, dewan orang ramai, bilik rawatan serta kedai.
Tambahnya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM250,000 bagi setiap keluarga Orang Asli yang terbabit dengan pemindahan tersebut, dan perbelanjaan itu tidak termasuk bayaran pampasan nilai kerugian harta benda termasuk pokok buah-buahan.
''Bagi memastikan Orang Asli terbabit menjana pendapatan selepas pemindahan tersebut, kerajaan telah memperuntukkan lot ekonomi merangkumi tanah seluas dua hektar bagi tanaman kelapa sawit dan tanah dusun seluas 0.4 hektar selain tanah kawasan rumah seluas 0.25 hektar.
''Selain itu, sepanjang tempoh 48 bulan setelah pemindahan tersebut, setiap keluarga akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM680 sebulan," kata beliau.
Beliau berharap, melalui penempatan semula itu, taraf hidup Orang Asli Sungai Temir akan dapat dipertingkatkan.
Dalam pada itu, Fah Kui berkata, dengan persetujuan tersebut, projek Empangan Klau bagi penyaluran air dari Pahang ke Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sehingga 2025, akan bermula tidak lama lagi.
Katanya, projek yang merangkumi empat komponen utama iaitu pembinaan terowong pemindahan air, Empangan Klau, muka sauk dan stesen pam Semantan serta saluran paip, dibiayai oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2014. (Sumber : Utusan Malaysia)
(Kata Waris Pahang :
-Tahniah kepada masyarakat Orang Asli Sungai Temir kerana mendapat banyak manfaat selepas pemindahan tersebut.
-Rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan juga mesti berterima kasih kepada Negeri Pahang, Pemimpin Negeri Pahang dan Rakyat Negeri Pahang kerana menyalurkan air mentah ke kawasan mereka.
-Jasa Dato' Seri Adnan Yaakob ini akan menjadi satu sejarah negara dan dikenang sehingga bila-bila.
-Sesungguhnya rakyat Pahang tidak akan rugi dengan projek Empangan Klau ini dan sudah pasti Negeri Pahang akan mendapat manfaatnya).
No comments:
Post a Comment