HAFIDZAH Jono memegang replika cek bernilai RM30,000 kerana memenangi Anugerah Sekolah Bestari Felda 2009 sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2009.
MARAN 11 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat, dekat sini mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Sekolah Bestari Felda sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan di Felda Maokil, Labis, Johor baru-baru ini.
Pemilihan sekolah itu berdasarkan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Pengetuanya, Hafidzah Jono berkata, pemilihan sekolah itu adalah di luar jangkaan kerana banyak lagi sekolah cemerlang di tanah-tanah rancangan di seluruh negara.
''Pemenang Anugerah Sekolah Bestari Felda membolehkan SMK Jengka Pusat menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis itu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Hafidzah memberitahu, SMK Jengka Pusat mencapai kelulusan 100 peratus dalam PMR dan SPM pada tahun ini menerusi Skim Tuisyen Felda (STF).
Katanya, pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi PMR ialah 1.51 manakala SPM ialah 4.01 iaitu tahap prestasi yang membanggakan bagi kategori sekolah luar bandar.
Menurut beliau, SMK Jengka Pusat mendapat bantuan STF di bawah pengurusan Felda Melati Jengka 11 yang bersungguh-sungguh melaksanakan tuisyen kepada anak peneroka sejak 2006 lagi. (Sumber : Utusan Malaysia)
(Kata Waris Pahang :
-Tahniah diucapkan kepada SMK Jengka Pusat Maran Pahang kerana terpilih sebagai Sekolah Bestari Felda.
-Kejayaan ini bukan milik SMK Jengka Pusat Maran Pahang sahaja sebaliknya kejayaan guru, PIBG, ibubapa dan murid.
-Kejayaan ini juga boleh dikatakan kesan dari pembukaan UITM Cawangan Jengka di tengah-tengah Bandar Jengka.
-Penduduk Jengka dilihat menitik beratkan pendidikan anak-anak mereka dan terpanggil untuk memastikan anak-anak peneroka berjaya cemerlang dan tidak ketinggalan di arus perdana selepas UITM Cawangan Jengka diwujudkan di kawasan tersebut.
-Kejayaan ini juga boleh dikatakan hasil daripada anjakan minda bestari dan perubahan sikap yang tinggi di kalangan penduduk Jengka.
-Penduduk Kawasan Jengka tidak akan mengecapi kejayaan cemerlang pelajar lagi pada masa akan datang sekiranya mengabaikan pendidikan pelajar-pelajar, berfikiran sempit dan menghabiskan masa dengan politik semata-mata.
-Tahniah Sekali Lagi).
No comments:
Post a Comment