Program Wacana ini merupakan inisiatif Gempita! (Gerak Gempur Pemikir Tanah Air Malaysia) untuk menyediakan sedikit ruang kepada para pencinta dan pejuang sejati bangsa untuk sama-sama menerima dan berfikir tentang hala tuju dan masa depan Melayu dan Negara (Petikan Kata-Kata Presiden Gempita, Manndzri Bin Haji Nasib).
Sempena genap 100 hari Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6, Najib memberi jaminan akan terus berusaha memberi kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira bangsa.
Najib menegaskan dalam ceramah bertajuk : Kedudukan Institusi Beraja & Melayu Dalam Perlembagaan Dari Perpektif 1Malaysia bahawa Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan tidak sama sekali menyentuh atau menggugat kedaulatan Institusi Raja dan Hak Istimewa Orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Wacana 1Malaysia ini juga telah memberi peluang kepada Najib untuk memperjelaskan tentang keraguan orang Melayu terhadap dasar liberalisasi yang diperkenalkannya.
Walaupun baru 100 hari memegang tampuk pemerintahan tetapi Najib telah menampakkan wawasan dan halatuju yang boleh membawa rakyat kepada pencapaian kecemerlangan di dalam setiap bidang.
Konsep 1Malaysia menekankan kepada menyatupadukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan kajian yang dijalankan mendapati keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri sangat tinggi dan setiap lapisan masyarakat menyambut baik konsep 1Malaysia.
Di penghujung ceramahnya, Najib menyeru orang Melayu supaya bangkit menjadi Orang Melayu Bermaruah, Berjaya dan Hebat di dalam setiap aspek kehidupan.
No comments:
Post a Comment